Monday, September 15, 2008

Anwar Mahu Berunding

PETALING JAYA 15 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin boleh menubuhkan kerajaan baru tetapi memberi tempoh dua minggu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan rundingan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan, rundingan itu bagi memastikan peralihan kerajaan berlaku secara aman.

Beliau berkata, pembangkang sudah mempunyai Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Malah, katanya, beliau serta pemimpin Pas dan DAP menghantar surat kepada Abdullah hari ini meminta diadakan satu pertemuan segera mengenai isu itu.
''Saya memberi masa dua minggu kepada Abdullah untuk membuat keputusan sama ada menerima tawaran ini atau tidak.

''Kita ingin adakan pertemuan dengan Perdana Menteri bertujuan berbincang untuk peralihan kuasa secara aman dan tenteram selain membebaskan tahanan politik,'' katanya ketika berucap pada Perhimpunan Perdana Sambutan Hari Malaysia Ke-45 anjuran pakatan pembangkang yang dihadiri kira-kira 10,000 orang, di sini malam ini.

Program di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya bermula pada pukul 7 malam dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan tarawih.

Anwar berkata, beliau tidak bercadang mengheret ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang ingin berpaling tadah ke pejabatnya esok semata-mata bagi membolehkan beliau menubuhkan kerajaan seperti dijanjikan pada 16 September.

Dalam ucapannya selama 40 minit, Anwar tidak menyentuh langsung laporan media asing bahawa beliau telah mengubah tarikh peralihan kuasa daripada 16 September kepada 20 September iaitu tarikh beliau ditangkap 10 tahun lalu.

Beliau juga berkata, sejuta Jalur Gemilang akan dikibarkan dari Sabah sehingga ke Perlis mulai esok sebagai tanda rakyat inginkan perubahan.

Dalam pada itu, Anwar turut berjanji akan mengumumkan berita baik dalam beberapa hari lagi untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai menghargai beliau yang telah meletak jawatan disebabkan tidak berpuas hati dengan penangkapan ketiga-tiga individu terbabit.

Pada Jumaat lalu, kerajaan menahan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang dipercayai terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan. Bagaimanapun, Hoon Cheng dibebaskan di Pulau Pinang pada pukul 3.30 petang kelmarin.
( Debaran pertukaran kerajaan makin terasa.Rakyat sudah bersedia membuat perubahan memastikan Be End terkubur dari persada politik Malaysia-Allahuakbar!!! )

No comments: