Wednesday, August 27, 2008


Salam....
Rasanya dah lama aku tak menulis dalam blog kesayanganku ini.Maklumlah, bertambah kerja.Apatah lagi kurang dari 2minggu aku akan pulang ke tanah air yang tercinta.Ada teman-teman yang memahami aku meminta aku menulis tentang analisis dan pemerhatian aku sepanjang perjalanan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang aku singkatkan menjadi PRKPP.Bukan tak mau menulis tapi takut tak kena tempat.Maklumlah nak menulis tentang analisis sesuatu perkara memerlukan seseorang itu berada di dalam situasi tersebut.Permatang Pauh beribu kilometer dari tempat aku berada sekarang.Namun ada yang tetap memberi semangant nak aku menulis jugak.Aku amik keputusan insya allah aku akan menulis hasil dari pembacaan aku di internet, maklumat-maklumat yang aku perolehi dari informer-informer aku di Malaysia dan sebagainya.Aku berdoa agar analisis dan pemerhatian aku menjadi satu bahan rujukan yang akan mematangkan Pakatan Rakyat.Mungkin juga boleh diistilahkan sebagai kritikan membina,pada masa yang sama analisis ini akan menjadi racun yang akan membunuh BN dan UMNO yang semakin terdesak dengan keputusan dan signal dari rakyat yang sudah bersedia mengkuburkan BN dan UMNO dari persada politik tanah air Malaysia yang tercinta.Sama-sama kita berdoa.Cuma analisis awal yang boleh aku cakapkan disini, saluran 1 dan saluran 2 yang selalunya kita ketahui adalah saluran golongan orang-orang veteran yang masih pekat dengan parti perikatan (walaupun sudah ditukar menjadi gabungan BN).Apa yang menariknya, saluran ini yang memenangkan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada pilihanraya kali ini. Saluran 3 dan saluran 4 yang sinonim dengan golongan muda yang memenangkan Pakatan Rakyat pada pilihanraya lalu agak tenggelam berikutan ada sesetengah majikan tidak memberikan cuti menyebabkan golongan ini susah untuk keluar mengundi. Mesej ini jelas menunjukkan orang-orang lama sudah tidak termakan dengan dakyah BN dan UMNO yang mengatakan kalau mengundi pembangkang akan kembali seperti zaman jepun,makan ubi kayu rebus dan sebagainya. dakyah-dakyah seperti ini membuatkan golongan-golongan veteran takut membuat perubahan.Tapi kali ini,UMNO dan BN sudah kehilangan idea dan taktik.Bahkan ahli-ahli mereka pun dilaporkan mengundi PKR.Banyak lagi analisis dan pemerhatian aku tentang perjalanan PRKPP.insya Allah dalam masa terdekat ini, aku akan keluarkan analisis dan pemerhatianku tentang ini.Semoga allah membantu aku dan membantu kemenangan islam. Allahu Akbar 3x !!!!!

Monday, August 25, 2008

Lulus Konsert Avril, penghinaan kepada Negara dan Umat Islam

Oleh : Pemuda Wilayah
Monday, 25 August 2008

Tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan pada bulan september ini. Walaupun Kementerian Kesenian dan Warisan dan PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, tetapi ia diluluskan semula apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri semalam.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Ini suatu tindakan yang kurang ajar, walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Pembatalan konsert sebelum ini, bukan kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelambatan permohonan permit. Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.Di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah?. Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?Ini juga menunjukkan kesediaan UMNO bermuzakarah dan berbincang isu umat Islam dan Melayu hanyalah hangat-hangat tahi ayam.

Pemuda Wilayah melihat seolah-olah menteri-menteri UMNO tunduk kepada tekanan luar apabila tiba-tiba sahaja bersetuju meluluskan konsert berkenaan. Menteri-menteri UMNO bacul kerana tidak dapat mempertahankan maruah umat Islam dan Melayu di negara ini.Pemuda Wilayah akan menghantar semula memorandum kepada pihak kerajaan bagi membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya kelulusan yang telah diberikan. Jika perlu Pemuda Wilayah akan turun berdemonstrasi di jalan raya membantah konsert Avril.Pemuda Wilayah juga akan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS sama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik kerana ini membabitkan

Saturday, August 23, 2008

Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz dari atas katil hospital
22 August 2008

Tuan/Puan,

Alhamdulillah. Setelah sempat mengikuti sendiri proses penamaan calon di Permatang Pauh pada 16 Ogos 2008, sedarlah saya yang ia adalah sebuah pilihan raya kecil yang amat sengit. UMNO/BN melihat pertarungan ini perlu memberi kemenangan mandatori kerana kekalahan boleh membawa kepada Pakatan Rakyat maju ke hadapan untuk mara ke Putrajaya. Mereka cukup takut kedatangan tanggal 16 September 2008 kerana di sana ada sesuatu yang mereka percaya akan berlaku. Jadi menyekat DSAI adalah menjadi keutamaan mereka yang paling atas.

Saudara/Saudari Sekalian,

Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berkempen untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang akan berlangsung pada 26 Ogos 2008 nanti. Kita semua maklum bahawa penyertaan beliau dalam pilihan raya kecil ini adalah untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan sekaligus menentang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam pemerintahan negara seperti yang sedang kalut diperkatakan di dada-dada akhbar.

Semua ini untuk membetulkan landasan supaya negara kita selamat dari ancaman kegelinciran iman, aqidah dan taqwa kepada Allah S.W.T.

Walaupun telah dihina dan diaibkan dengan teruk 10 tahun lalu, saya perhatikan musuh-musuh yang tidak berperikemanusiaan tidak pernah puas untuk menzalimi beliau. Dengan modal yang sama, sekali lagi beliau difitnah dengan tuduhan yang tidak tergamak untuk saya menyebutnya.
Saya tetap dengan pendirian bahawa fitnah terhadap Datuk Seri Anwar adalah konspirasi politik. Saya juga berpendirian bahawa sumpah yang dibuat oleh orang yang menuduh baru-baru ini penuh dengan persoalan dan keraguan.

Atas kesedaran ini, jauh dari dasar hati biarpun terlantar di katil hospital, izinkan saya menggagahkan diri, merayu seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menentang keras budaya fitnah dan konspirasi yang menjelekkan seumpama ini. Sikap protes ini harus lantang dan konsisten hingga sampai ke peti undi pada 26 Ogos 2008.

Wassalam.

DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Selamat Datang Ramadhan Al-Mubarak
Oleh : Mohd Hanifi Bin Hj Ahmad Jamaludin.

Ramadhan sekali lagi mengunjungi kita. Setiap tahun ia datang dan setiap tahun juga ia pergi meninggalkan kita. Bagaikan baru semalam ia meninggalkan kita. Ketika artikel ini dicoret, kurang dari seminggu umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan yang penuh keberkatan ini. Kedatangan Ramadhan adalah untuk memenuhi tuntutan Allah S.W.T agar kita dapat menunaikan ibadat puasa yang merupakan salah satu rukun dari rukun-rukun Islam. Apa saja ibadah yang difardhukan oleh Allah S.W.T ke atas kita ianya mempunyai matlamat dan kesan yang amali sama ada ke atas individu atau masyarakat yang menjadi anggotanya. Ibadah puasa ini secara jelas memberi kesan kepada pembentukan individu dan pembinaan syaksiyah yang memfokuskan ke arah pembentukan rohani dan akhlak. Ekoran itu, puasa juga dianggap dapat memberi sumbangan positif kepada pembinaan masyarakat.

Puasa merupakan salah satu ujian untuk menguji sejauh mana tahap iman seseorang hamba kepada Allah S.W.T . Puasa juga menguji tahap keikhlasan dan cintanya seseorang hamba kepada penciptaNya. Fardhu puasa yang disyariatkan kepada umat Islam bolehlah dianggap sebagai medan pertarungan di antara keimanan dan syahwat. Keimanan yang kukuh, cinta dan kasih sayang yang sebenar-benarnya kepada Allah S.W.T akan dapat memukul dan menghalang tuntutan nafsu syahwat yang merupakan sifat negatif yang wujud dalam diri manusia. Oleh perkara itu, Allah S.W.T menfardhukan ibadah puasa bagi semua umat dan ianya juga merupakan ibadah utama bagi semua ajaran para Anbiya' dan Rasul.

Firman Allah S.W.T bermaksud :

183( surah al-baqoroh). Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,

Dalam penegasan betapa pentingnya bulan Ramadhan ke atas pengamalan sebagai seorang muslim , Baginda Rasulullah S.A.W pernah bersabda apabila hampir tibanya bulan Ramadhan di dalam sabdanya :

" يأيها الناس إنه قد أقبل إليكم شهر الله تعالى بالبركة والرحمة والمغفرة ، شهر هو عند الله أفضل الشهور وأيامه أفضل الأيام ولياليه أفضل الليالي وساعاته أفضل الساعات ."

Bermaksud : Wahai manusia, sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Allah yang penuh dengan berkat, rahmah dan keampunan . Ia adalah sebaik-baik bulan di sisi Allah, manakala hari-harinya adalah sebaik-baik hari dan malamnya adalah sebaik-baik malam. Dan setiap masa dan detiknya adalah sebaik-baik masa dan detik.

Berdasarkan hadith tersebut, maka bulan Ramadhan telah disebut sebagai bulan Allah S.W.T kerana bulan ini bulan untuk hamba-hambanya menghampirkan diri kepada yang Maha Esa. Ianya juga merupakan bulan rahmat dan keampunan Allah S.W.T.

Ibadah puasa juga sama dengan ibadah-ibadah yang lain yang mempunyai hikmat dan matlamatnya yang tertentu antaranya pembentukan jiwa, pembentukan akhlak, dan pembentukan penghidupan manusia mengikut fitrah yang dituntut oleh Allah S.W.T. Walau apa sekalipun matlamatnya, yang penting adalah puasa merupakan pengabdian diri kepada Allah S.W.T dan menzahirkan pengabdian ini dengan mengamalkan amalan puasa dengan sempurna dan mematuhi semua tuntutan serta mengelakkan diri dari melakukan apa yang dilarang yang boleh merosak dan menjejaskan ibadah suci ini.

Dari sudut yang berbeza, amalan berpuasa merupakan satu pentarbiyahan diri, pengarahan ke atas rohani dan akhlak serta memelihara kesihatan diri dan kebersihan jiwa. Oleh yang demikian, kesan-kesan mengamalkan puasa bolehlah dirumuskan dengan beberapa perkara. Antaranya :

Melatih kekuatan jiwa dan kesabaran diri. Ia juga melatih agar semua yang mengamalkan ibadah puasa menanggung bebanan, menahan pelbagai ujian dalam pelbagai bentuk antaranya menahan lapar dan dahaga, melatih diri untuk menentang syahwat dan nafsu yang ada dalam diri manusia.
Amalan berpuasa berfungsi mengubah sikap manusia dari sikap jumud kepada kesedaran dan keterbukaan di dalam berfikir. Manusia sepatutnya dapat memilih sesuatu yang tepat dengan betul dalam berinteraksi di dalam kehidupannya kerana amalan puasa sangat mencabar emosi jiwa dan pemikiran seseorang itu.
Melatih diri agar sentiasa mengikut kekuatan rohani yang tinggi.
Memelihara kesihatan badan kerana dengan amalan berpuasa, sebahagian anggota badan akan berehat sementara waktu disamping berpuasa itu dapat mengubati pelbagai penyakit termasuk sakit saraf.
Puasa melatih manusia bersifat dengan akhlak yang mulia dan melatih jiwa menjadi baik. Ia juga menghindarkan diri manusia dari melakukan kejahatan dan kemungkaran hasil dari latihan menjaga lidah dan anggota badan sepanjang Ramadhan.
Kemuncaknya, akan wujud ikatan yang kukuh di antara hamba-hamba dengan penciptaNya melalui ibadah puasa.

Pemilihan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk mengerjakan amalan puasa mempunyai hikmah yang tersendiri. Ramai tidak mengetahui disebalik huruf-huruf yang disambung menjadi tulisan Ramadhan mempunyai makna yang tersendiri. Terkadang apabila ditanya mengapa bulan Ramadhan dipilh sebagai bulan untuk mengamalkan amalan puasa, ramai dari kita tidak dapat menjawab.

Huruf Ra' ( ر) membawa pengertian Ridhuanullah yang bermakna bulan Ramadhan adalah bulan yang diredhai oleh Allah S.W.T dan hamba-hambanya. Kalau tidak, manakan sanggup hamba-hambanya mengamalkan amalan puasa yang sangat mencabar. Perkara ini jelas menunjukkan hubungan yang kukuh di antara hamba dan Penciptanya.
Huruf Mim ( م) membawa maksud Maghfiratullah yang bermakna keampunan dari Allah S.W.T. Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan yang diampunkan dosa-dosa kepada pengamalnya.
Sabda Rasulullah S.A.W :

" رمضان ، أوله رحمة وأوسطه مغفرة وأخيره عتق من النار ."

Bermaksud : " Ramadhan, awalnya Rahmat, tengahnya Keampunan dan akhirnya Pembebasan dari api neraka ".

Huruf Dhod ( ض ) membawa maksud Dhomanullah iaitu jaminan dari Allah S.W.T kepada hamba-hambanya akan nikmat syurga yang menanti sesiapa yang mengamalkan ibadah puasa. Allah S.W.T telah menjanjikan sebuah pintu syurga yang diberi nama Ar-Rayyan yang akan dimasuki oleh pengamal ibadah puasa seperti yang disabdakan oleh junjungan besar Muhammad S.A.W

" عن سهل بن سعد رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : إن في الجنة بابا يقال له الريان يدخل منه الصائمون يوم القيامة ، يقال أين الصائمون ؟ فيقومون لا يدخلون منه احد غيرهم فإذا دخلوا أغلق فلم يدخل منه أحد "

Bermaksud : " sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan Al-Rayyan. Pintu ini akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti. Ia berkata, manakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka ( orang yang berpuasa ) pun bangun, dan pintu ini tidak memasukinya seorang pun selain daripada mereka yang berpuasa. Apabila mereka memasukinya, maka ia terus ditutup dan tidak ada sesiapa pun yang memasukinya lagi selepas itu ".

Huruf Alif ( ا ) membawa pengertian Ulfa yang bermakna Berjinak. Bulan Ramadhan dipilih oleh Allah S.W.T sebagai bulan untuk hamba-hambanya berjinak dengan si Pencipta. Kerana apabila hamba diuji dengan ujian yang berat, tidak ada yang lain di cari melainkan yang Maha Esa. Firman Allah S.W.T bermaksud


186( surah al-baqoroh). Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Ayat di atas jelas memberitahu kita akan dekatnya Allah S.W.T dengan hamba-hambanya. Pernahkah kita terfikir kenapa ayat ini didatangkan selepas ayat yang menfardhukan amalan berpuasa? Ini menunjukkan Allah S.W.T inginkan hamba-hambanya dekat padanya sepertimana Ia dekat dengan hamba-hambanya kerana manusia akan lalai melainkan ketika diuji dengan ujian yang berat dan berpuasa merupakan salah satu ujian yang berat.

Huruf yang terakhir adalah huruf ( ن ) yang membawa pengertian Nikmatullah yang bermakna nikmat dari Allah S.W.T kepada umat Islam yang mengamalkan amalan berpuasa. Jika kita renungi dengan sedalam-dalamnya, Aidilfitri adalah satu nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada hamba-hambanya yang berpenat lelah mengerjakan amalan puasa.

Akan tetapi, mutakhir ini, Aidilfitri disambut oleh orang yang tidak mengamalkan puasa ataupun yang mengamalkan tanpa keikhlasan seolah-olah terbeban dan mengikut orang tanpa niat yang betul. Banyak lagi nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T di dalam bulan Ramadhan tanpa kita kaji dan selidiki.


Demikianlah, amalan puasa yang difardhukan itu merupakan salah satu manhaj dalam memperbaiki diri dan mendidik manusia seluruhnya.
Wallahu'alam.
Pengalaman Mendengar Ceramah BN di Permatang Pauh
Oleh : Orang Parit Buntar

Pada malam 19/8/08 , kami telah bertolak ke Permatang Pauh untuk melihat suasana berkempen di sana. Kami tidak berminat untuk mengikuti ceramah PKR kerana sudah biasa mendengarnya. Jadi kami mencari ceramah yang dianjurkan oleh BN.

Kebetulan kami bertemu dengan satu pos BN di tepi jalan masuk ke sebuah kampung berdekatan Kubang Semang. Satu ceramah wanita umno sedang berlangsung di situ, kami turut serta mendengarnya. Menurut seorang petugas umno TPM akan datang ke situ malam itu. Kami diberi sebotol air mineral berlambang dacing.

Lebih kurang 30 orang wanita dan remaja perempuan sedang mendengar ceramah berkenaan di samping 8 hingga 10 orang lelaki dewasa dan pemuda. Anggota Polis juga kelihatan 5 hingga 6 orang di situ.

Penceramah wanita umno pada malam itu datang dari Selangor menggunakan sebuah laptop yang memaparkan gambar-gambar untuk menguatkan hujah beliau. Entah mengapa beliau tidak menggunakan skrin, nak kata tidak ada peruntukan mustahil.

Mungkin, beliau takut gambar atau kenyataan dalam laptop beliau itu dirakam kerana kebanyakannya adalah berunsur fitnah terhadap DSAI dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Pemimpin wanita umno dalam lingkungan 50 tahun ini banyak membangkitkan kemusnahan hak orang Melayu setelah PR memerintah. Beliau membangkitkan isu ternakan babi di Selangor, isu tanah di Perak, isu kouta Uitm dan banyak lagi isu terutamanya di Selangor.

Jika orang kurang faham isu semasa pasti merasa amat marah kepada PR, seolah-olah kerajaan PR hanya membela orang Cina. Ceramah berunsur perkauman ini jika disampaikan oleh pemimpin PR, pastinya sudah dicaj dengan akta hasutan.

Lebih kurang jam 11.00 malam, muncullah TPM untuk menyampaikan ceramah di situ. Agak lama juga beliau berbincang dengan pemimpin umno yang menjaga pos BN berkenaan. Mungkin beliau menyatakan tidak puas hati beliau kerana kehadiran kecil yang tidak padan untuk beliau menyampaikan ceramah.

Beliau, kemudiannya menyampaikan ucapan meminta maaf kepada orang yang hadir kerana tidak boleh lama terpaksa menghadiri program lain. Beliau meminta pengundi di situ memberi undi kepada Dato' Arif dan meminta seorang Ahli Parlimen dari Johor mengantikan beliau.

Ucapan Ahli Parlimen ini dimulakan mengumumkan berita baik harga minyak akan turun dan PM akan membuat pengumumannya dua atau tiga hari lagi. Beliau, seterusnya menggunakan isu turun harga minyak ini sebagai tanda kerajaan BN prihatin masalah rakyat.

Tidak lama beliau berceramah tiba satu gerombolan pemuda umno bermotorsikal membawa bendera BN dan umno untuk mendengar ceramah di pos itu. Ahli Parlimen ini semakin bersemangat apabila pemuda ini bersorak menyokong ceramah beliau yang juga berunsur perkauman.

Beliau mengalih perhatian kepada pemuda-pemuda ini bertanya adakah pemuda yang ramai itu datang dari kampung itu. Malang, pemuda yang menyahut memberitahu bahawa mereka dari tempat lain bukan dari kampung itu.

Jam 11.35 malam, tiba masa seorang lagi penceramah berceramah. Beliau adalah Lokman Nor Adam bekas AJK Pemuda KeAdilan yang sudah masuk umno. Ceramah beliau dimulakan dengan cabaran kepada DSAI supaya bersumpah tidak meliwat Saiful.

Beliau, seterusnya mencerita pengalaman beliau sebelum DSAI ditangkap, semasa ditahan ISA dan bagaimana beliau dipecat dari KeAdilan kerana mendedahkan penyelewengan dana oleh pemimpin KeAdilan.

Selepas ceramah itu kami beredar dan mendapat cenderahati topi berlambang dacing. Kami singgah di Markas PKR memaklumkan kepada beberapa orang petugas PKR di situ tentang isi ceramah yang baru kami dengar.

Kami membuat rumusan dari pengalaman menghadiri ceramah BN ini .

Pertama, BN menggunakan isu perkauman untuk menarik undi Melayu. Jika orang Cina yang masih menyokong BN mendengar ceramah ini, pasti mereka tidak akan mengundi BN.

Kedua, BN akan menggunakan isu turun harga minyak untuk menarik pengundi kerana diumumkan sebelum 1 September.

Ketiga, BN menggunakan Isu liwat sebagai senjata dengan menggunakan bekas pengikut DSAI yang sudah menyertai umno.

Ceramah yang disampaikan oleh Lokman jika didengar oleh orang atas pagar mereka mungkin akan terpengaruh, yang dah ada niat nak mengundi DSAI mungkin ubah niat mereka kerana Lokman memceritakan beberapa pengalaman beliau bersama DSAI.

Harap jentera PKR dengar ceramah Lokman dan rakan-rakannya dan cepat buat penjelasan semula kepada pengundi yang mendengar ceramah mereka.

Daripada : WebMaster PAS Parit Buntar

Friday, August 22, 2008

Konspirasi BPR-BN Perak

Kalau perangai tak semenggah itu terus diamalkan, inilah jadinya. Setelah gagal memujuk Pas untuk menumbangkan kerajaan PR, Tajol Rosli terus berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang ada hari ini, walau dengan apa cara sekalipun. Dia mencuba pulak membawa Ezam untuk memujuk ADUN PKR untuk berpaling tadah tapi itu juga gagal.

Tapi apa nak kata, wawasan sudah diumumkan iaitu untuk menubuhkan kerajaan BN pada 31 Ogos ini. Setelah melihat Anwar bertanding diPermatang Pauh, dan setelah melihat tidak ada apa lagi yang boleh menghalang Anwar untuk menang, kecuali dengan kehendak Tuhan, maka Tajol Rosli memulakan gerakan kotornya.

Salah satu cara untuk menghalang Anwar daripada meneruskan usahanya untuk mengambil alih pemerintahan negara ialah dengan mensabotaj pilihanraya kecil yang ditandingi oleh Anwar. Bermula dengan kes Saiful, beberapa siri skandal dicipta untuk menghilangkan keyakinan rakyat terhadap Anwar. DiPerak, skandal rasuah dicipta melibatkan ADUN-ADUN PKR.

Setelah gagal dengan bermuafakat dengan Pas, tajol rosli membawa ezam untuk melakukan komplot ini. Tugas pertama Ezam ialah mengenalpasti siapakah diantara pemimpin PKR Perak yang boleh dibeli. Tumpuan Ezam ialah Jamaludin dan Osman, dua Exco Perak. Walaupun mencuba beberapa kali, namun mereka gagal membeli Jamaludin dan Osman. Namun komplot perlu diteruskan dan mereka mencari siapakah diantara pemimpin PKR Perak yang mudah diperdaya. Dengan bantuan Ezam, mereka mengenalpasti Kapt (B) Usaili Alias, bekas ADUN Bota. Perancangan mereka ialah menggunakan Usaili untuk memerangkap Jamaludin dan Osman.

Perancangan bermua kia-kira sebulan lalu, dengan bantuan BPR Putrajaya. Seorang ejen bPR telah dihantar untuk memulakan operasi. Ejen yang bernama Imran ini dibekalkan dengan sebuah Mercedes S320 bewarna hitam, dan berlagak sebagai seorang tokoh korporat Kuala Lumpur .

Kali pertama beliau kelihatan ialah apabila datang kepejabat MB Perak di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bertanya tentang Usaili. Staf SUK tealh memperkenalkan beliau dengan seorang juruteknik dari PKNP bernama Roslan Sahat yang sememangnya rapat dengan Usaili. Roslan kemudiannya mengajak Zul Hassan untuk berjumpa dengan Usaili. Untuk meyakinkan Usaili, Imran telah membawa seorang kenalan beliau, seorang peniaga, Fairuz Azrim Ismail yang sememangnya dikenali oleh Usaili dan beberapa pemimpin PKR Perak.

Perbincangan dengan usaili adalah untuk membina sebuah pusat membina kapal di Bagan Datoh dan kertas kerja beserta profil syarikat telah diserahkan kepada Usaili. Imran mengharapkan Usaili dapat menggunakan kedudukan beliau sebagai kenalan rapat kepada kedua-dua EXCO ini untuk membantu meluluskan projek ini. Namun, kedua-dua EXCO ini, Jamaludin dan Osman tidak mahu terlibat kerana diluar bidang kuasa mereka.

Namun Imran tidak berputus asa. Pilihanraya Permatang Pauh memberikan peluang kepadanya untuk meneruskan komplot BPR ini. Imran telah menawarkan untuk menyumbang sebanyak RM5,000 kepada PKR Perak untuk digunakan didalam pilihanraya kecil Permatang Pauh. Oleh kerana beliau mahu menyerahkan wang tersebut kepada PKR negeri, maka Usaili telah mencadangkan keada beliau untuk menyerahkan wang tersebut kepada Jamaludin, yang mana merupakan Bendahari PKR Perak.

Satu pertemuan telah diadakan dipejabat SUK pada 14.1.08 yang mana Imran telah membawa wang sebanyak RM5,000 untuk dberikan kepada Jamaludin. Sekali lagi, Jamaludin menolak sumbangan tersebut dan memberitahu Imran, supaya menyumbang kepada PKR Permatang Pauh sekiranya beliau benar-benar ingin membantu. Sekali lagi harapan untuk memerangkap Jamaludin tidak menjadi, sebaliknya, Imran menyerahkan wang tersebut kepada Usaili. Tanpa menyedari wang tersebut telah ditanda, Usaili menerima wang tersebut dan pergi kePermatang Pauh bersama-sama Imran, Zul Hasan, Fairuz Azrim dan Roslan Sahat pada malam Penamaan Calon.

Dimalam tersebut, Usaili tinggal diBilik Gerakan Kg. Pertama manakala tiga lagi rakannya menghilangkan diri bersama Imran. menurut malumat, Imran telah membawa bersama dua orang pelacur yang dibawa khas dari Ipoh dan menempah sebuah hotel diPulau Pinang. Tidak diketahui, siapakah diantara mereka bertiga yang telah menggunakan pelacur tersebut.

Setelah dua kali usaha untuk memerangkap kedua-dua EXCO ini tidak berjaya, Imran telah menggunakan taktik yang lebih menarik, dengan bantuan BPR Putrajaya. Melalui Azrim sebagai informer, Imran mengintai peluang, bilakah kedua-dua EXCO ini berada ditempat yang sama secara serentak.

Peluang tersebut tiba apabila Usaili, Jamaludin dan Osman berjanji untuk kePermatang Pauh bersama-sama pada 19.8.08. Pada hari tersebut, Osman dan Usaili menunggu Jamaludin di Kluang Cafe, Ipoh Raya. berhampiran dengan bangunan SUK Perak. Nasib memang menyebelahi Jamaludin kerana beliau terpaksa menjemput isteri seorang kawannya yang menyebabkan beliau terlewat, lantas memberitahu Usaili bahawa beliau akan terus kePermatang Pauh bersendirian.

Apabila menyedari Jamaludin tidak akan datang, melalui Azrim yang minum disebuah restoran berdekatan, BPR terpaksa meneruskan operasi mereka. Imran bersama dengan seorang wanita telah membawa sebuah beg dan pergi berjumpa Usaili diKluang Cafe. Imran telah meletakkan beg tersebut diatas meja dimana Osman dan Usaili duduk dan terus beredar. Sebaik saja Imran beredar, pasukan BPR terus menyerbu Osman dan Usaili dan menyuruh Usaili membuka beg tersebut.

Usaili enggan membuka beg tersebut, lantas pegawai BPR telah menyuruh pegawainya yang lain untuk membuka beg tersebut, dan….memang ada wang berketul-ketul. Jadi, semua cerita tentang kelima-lima tertuduh ini ditangkap dibilik hotel adalah pembohongan SPR semata-mata. kejadian ini berlaku diKluang Cafe, Ipoh raya, didepan khalayak ramai. Bukannya didalam bilik hotel seperti yang dikatakan.

Usaili kemudiannya memanggil Roslan, Azrim dan Zul Hasan yang berada direstoran berdekatan untuk bertanya apakah yang berlaku. Zul Hasan telah memaklumkan bahawa mereka telah diminta supaya tidak bersama Osman dan Usaili lebih awal. Mengapa? Kerana Fairuz Azrim adalah informer kepada Imran, yang memberikan maklumat tentang pergerakan Usaili dan Osman.

Untuk menutup operasi mereka, BPR telah juga menangkap ketiga-tiga lelaki ini dan dibawa kepejabat BPR bersama-sama Usaili dan Osman. Semasa siasatan, BPR telah menjumpai sebahagian daripada wang RM5,000 yang telah ditandakan yang diberikan kepada Usaili semasa malam Penamaan Calon lalu. Maka BPR merasakan mereka mempunyai bahan bukti untuk menahan reman Usaili dan Osman.

Bagaimana Jamaludin boleh terlibat? Jamaludin bergegas balik keIpoh setelah mendapat tahu rakannya ditahan. Sebaliknya, beliau pula ditahan. Tetapi BPR tidak mempunyai kes terhadap Jamaludin dan tidak tahu apakah pertuduhan yang hendak dikenakan. Pengarah BPR terus megeluarkan kenyataan bahawa kesemua mereka ini ditahan kerana cuba menerima rasuah sebanyak RM120,000.! tetapi apabila Jamaludin dibawa kemahkamah untuk perintah tahanan reman, tuduhan yang dikenakan kepada beliau ialah cuba mendapatkan suapan berjumlah RM5,000 pada 14.8.08. Kita tunggu, apakah pula tuduhan ini akan dipinda lagi kemudian.

Dalam permohonan untuk menilai semula perintah tahanan reman terhadap Osman, Usaili, Roslan, Zul dan Azrim dimahkamah tinggi petang tadi, seperti dijangka, BPR telah membebaskan Azrim! Hakim bagaimana pun membatalkan perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap empat tertuduh lain.

Semasa perbicaraan, pendakwa BPR telah memberitahu mahkamah bahawa Pegawai Penyiasat kes ini baru sahaja dilantik selepas permohonan reman diberikan oleh mahkamah majistret. Macam mana tangkap dulu, kemudian ditahan reman, baru lantik Pegawai Penyiasat? Bukankah siasat dulu baru tangkap?

Sebenarnya, Pegawai Penyiasat BPR (seorang wanita) telah menarik diri dari terlibat dari kes ini!

Osman, Usaili, Roslan dan Zul Hasan telah dibebaskan oleh hakim mahkamah tinggi manakala Azrim dibebaskan oleh bPR. Jamaludin terpaksa tinggal dihotel BPR satu malam lagi (esok) sebelum dibebaskan pada hari Sabtu.

Tetapi kes ini belum berakhir dan banyak lagi maklumat tidak boleh dinyatakan disini.

sumber: http://perakexpress.com/?p=835

Thursday, August 7, 2008

TEKA-TEKI IMAM GHAZALI......
Pada suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul bersama anak-anak muridnya, lalu Imam Ghazali bertanya :

Soalan Pertama : "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ? ". Anak-anak muridnya menjawab : " Ibu Bapa, Guru, Kawan dan Sahabat ". Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan itu adalah benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah " Mati ". Sebab itu Allah S.W.T menjanjikan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Al-Imran 185)

Imam Al-Ghazali bertanya lagi kepada anak-anak muridnya soalan kedua : " Apakah yang paling jauh dengan kita ? ". Lalu anak-anak muridnya menjawab : " Negara China, Bulan, Matahari dan Bintang-bintang " . Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang mereka berikan tersebut adalah benar. Tetapi yang paling jauh dengan kita adalah " Masa Lalu ". Walau dengan apa cara sekalipun kita lakukan, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari mendatang dengan perbuatan yang bermanafaat dan sesuai dengan ajaran agama Islam.

Imam Al-Ghazali meneruskan teka-tekinya dengan menanyakan soalan yang ketiga : " Apakah yang paling besar di dunia ini ?". Anak-anak muridnya menjawab : " Gunung, Bumi dan Matahari ". Semua jawapan itu adalah benar kata Imam Al-Ghazali, akan tetapi yang paling besar di dunia adalah " Nafsu "(Al-'Araf 179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita. Jangankan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah : " Apakah yang paling berat di dunia ini ?". Ada anak-anak murid Imam Al-Ghazali menjawab : " Besi dan Gajah ". Betul jawapan tersebut kata Imam Al-Ghazali. Akan tetapi yang paling berat adalah " Memegang Amanah " (Al-Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, Binatang, Gunung-ganang, Bukit-bukau dan Malaikat, semuanya tidak mampu dan menolak ketika mana Allah S.W.T meminta mereka untuk menjadi khalifah (Pemimpin) di dunia ini. Akan tetapi, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah S.W.T sehinggakan kebanyakan manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memikul amanahnya.

Imam Al-Ghazali menanyakan soalan yang kelima : " Apakah yang paling ringan di dunia ini ?". Lalu ada yang menjawab :" Angin, Kapas, Debu dan daun-Daunan". Semua itu benar kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang peling ringan di dunia adalah " Meninggalkan Solat ". Gara-gara kerja seharian kita meninggalkan solat dan juga gara-gara berorganisasi, kita meninggalkan solat.

Dan soalan terakhir yang dikemukan oleh Imam Al-Ghazali: " Apakah yang paling tajam di dunia ini ?". Anak-anak muridnya serentak menjawab : " Pedang ". Benar kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang paling tajam adalah " Lidah Manusia ". Disebabkan lidahlah manusia selalunya menyakiti dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Wallahua'lam.