Friday, September 26, 2008

CERAMAH SEMPENAN NUZUL AL-QURAN OLEH YAB DATO' SERI MENTERI BESAR KEDAH DAN DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG.
Pada 17 September yang lalu, satu ceramah dianjurkan oleh Pas Negeri Kedah bertempat di Kompleks Pas Negeri Kedah, Batu 9 Jalan Kota Sarang Semut. Ceramah yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Bin Abd Razak dan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang, Presiden Pas.
Ceramah tersebut dimulakan selepas solat tarawih. Pada petang ceramah tersebut, rakyat Negeri Kedah beramai-ramai berbuka puasa di Kompleks tersebut.
Pada ceramah tersebut yang dimulakan dengan ucapan YAB Menteri Besar Kedah. Dato' Seri Azizan menekankan betapa hebatnya bulan ramadhan yang diberikan kepada umat islam. Seterusnya beliau mengkhabarkan berita baik kepada rakyat negeri Kedah bahawasanya, Kerajaan Negeri Kedah telah menerima sumbangan bernilai RM 5 juta untuk membina 100 buah rumah untuk diberikan kepada rakyat miskin di negeri ini secara percuma untuk selama-lamanya. Sumbangan itu diberitakan diberi oleh bekas seorang menteri kerajaan Malaysia. Beliau juga memberitahu bahawa kerajaan Negeri Kedah dapat menjimatkan RM 28 juta wang perbelanjaan Negeri Kedah hasil dari sikap berjimat-cermat kerajaan dalam berbelanja. Kerika di pemerintahan kerajaan terdahulu, negeri Kedah kekurangan RM 50 juta untuk pentadbiran. Tetapi pada pemerintahan Pakatan Rakyat, wang kerajaan dibelanjakan dengan sebaik mungkin.
Presiden Pas yang berucap selepas itu, menekankan peristiwa peperangan Badar yang berlaku di bulan Ramadhan yang menyaksikan kemenangan tentera Islam dan peristiwa pembukaan Makkah Al-Mukarramah yang sebelum ini gelap dengan jahiliyah. Kemenangan yang diperolehi bukan hanya setakat bekerja, malah kebergantungan kita kepada Allah S.W.T juga amat penting dalam setiap gerak kerja. Beliau juga mengharapkan agar semua pendokong dan penyokong gerakan Islam banyakkan berdoa di bulan yang mulia ini untuk kemengan Islam yang makim menghampiri kita.
( Aku yang masih menunggu untuk berjumpa dengan YAB Menteri Besar Kedah untuk urusan KKDS pasti tidak akan melepaskan peluang apabila bertemu dengan beliau untuk mengetahui pelbagai perkara )

Monday, September 15, 2008

Anwar Mahu Berunding

PETALING JAYA 15 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin boleh menubuhkan kerajaan baru tetapi memberi tempoh dua minggu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan rundingan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan, rundingan itu bagi memastikan peralihan kerajaan berlaku secara aman.

Beliau berkata, pembangkang sudah mempunyai Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Malah, katanya, beliau serta pemimpin Pas dan DAP menghantar surat kepada Abdullah hari ini meminta diadakan satu pertemuan segera mengenai isu itu.
''Saya memberi masa dua minggu kepada Abdullah untuk membuat keputusan sama ada menerima tawaran ini atau tidak.

''Kita ingin adakan pertemuan dengan Perdana Menteri bertujuan berbincang untuk peralihan kuasa secara aman dan tenteram selain membebaskan tahanan politik,'' katanya ketika berucap pada Perhimpunan Perdana Sambutan Hari Malaysia Ke-45 anjuran pakatan pembangkang yang dihadiri kira-kira 10,000 orang, di sini malam ini.

Program di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya bermula pada pukul 7 malam dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan tarawih.

Anwar berkata, beliau tidak bercadang mengheret ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang ingin berpaling tadah ke pejabatnya esok semata-mata bagi membolehkan beliau menubuhkan kerajaan seperti dijanjikan pada 16 September.

Dalam ucapannya selama 40 minit, Anwar tidak menyentuh langsung laporan media asing bahawa beliau telah mengubah tarikh peralihan kuasa daripada 16 September kepada 20 September iaitu tarikh beliau ditangkap 10 tahun lalu.

Beliau juga berkata, sejuta Jalur Gemilang akan dikibarkan dari Sabah sehingga ke Perlis mulai esok sebagai tanda rakyat inginkan perubahan.

Dalam pada itu, Anwar turut berjanji akan mengumumkan berita baik dalam beberapa hari lagi untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai menghargai beliau yang telah meletak jawatan disebabkan tidak berpuas hati dengan penangkapan ketiga-tiga individu terbabit.

Pada Jumaat lalu, kerajaan menahan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang dipercayai terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan. Bagaimanapun, Hoon Cheng dibebaskan di Pulau Pinang pada pukul 3.30 petang kelmarin.
( Debaran pertukaran kerajaan makin terasa.Rakyat sudah bersedia membuat perubahan memastikan Be End terkubur dari persada politik Malaysia-Allahuakbar!!! )
Mahkamah Persekutuan isytihar kerusi DUN Sanglang dimenangi oleh Ust Hashim Jasin dari PAS.

16/09/2008 12:56pm
PUTRAJAYA 16 Sept. - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang di Perlis dimenangi oleh Pesuruhjaya Pas negeri itu Hashim Jasin.
Pada 18 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya negeri itu mengisytiharkan kerusi DUN Sanglang yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional Abdullah Hassan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas dikosongkan berikutan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim. - Bernama
( Semoga Islam diberi tempat untuk memerintah-Allahuakbar )

Monday, September 1, 2008

" KINGDOM OF HEAVEN ".
Aku saja menulis artikel ringkas ini sebagai renungan semua. Entah berapa kali aku menonton " Kingdom Of Heaven : Behind The Scenes " yang di edit oleh sahabat kita semua, Saudara Mohd Syaari Bin Abd Rahman. Terasa sangat sayu bahkan menitis air mata bila membaca susur galur perjuangan pejuang-pejuang terdahulu untuk memartabatkan dan menubuhkan apa yang dinamakan Daulah Islamiyyah yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Apa yang menyedihkan aku, apakah jasa dan bantuan aku kepada pembentukan Daulah Islamiyyah. Bukan di negara orang, tapi negara aku sendiri. Malaysia yang aku cintai. Dalam keadaan aku masih terkapai-kapai untuk memahami semua ini, aku di bebankan dengan pelbagai bebanan yang aku sendiri merasakan tak tertahan untuk aku menanggungnya. Mungkin bebanan ini menguji sejauh mana keikhlasan aku dalam bercita-cita mendaulatkan Islam di Malaysia. Filem " Kingdom Of Heaven " , mengisahkan perjuangan Sultan Salahuddin Al-Ayubi dalam rentetan perjuangan beliau membebaskan Al-Aqsa, antara bandar suci umat islam selepas Makkah dan Madinah. Bermula dengan peperangan salib yang dicetuskan kaum kuffar untuk menyerang dan menghapuskan umat Islam di atas muka bumi ini. Aku yakin ramai di luar sana sudah menonton filem ini. Tapi adakah kalian mengambil iktibar dan pengajaran dari filem ini? Bagi diriku yang tinggal kurang dari 10 kilometer dari maqam seorang pejuang, Sultan salahuddin Al-Ayubi merasa menyesal kerana tidak mengambil semangat beliau. Apa yang aku selalu rungutkan adalah keletihanku dalam perjuangan, bebanan aku dalam hal-hal kerja. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang kecil mahupun besar. Kuatkanlah jiwa aku untuk menghadapi segala rintangan perjuangan. Kadang-kadang aku menangis seorangan memikirkan jiwa ini yang masih kosong dengan ilmu ke arah pembentukan insan dan negara yang betul-betul mengamalkan Islam yang syumul. Pernah aku bercakap yang aku ingin sangat-sangat lari dari semua ini. Hanya berehat, memerhatikan dan mendengar sahaja apa yang dibuat oleh teman-teman. Kalau aku buat macam ni, bermakna aku wajib bersedia untuk bertemu dan menjawab segala soalan dari Allah tentang apa jasaku untuk Islam. Kadang-kadang bila membaca blog teman-teman seperti Dzul Khairi, Khairul Naim dan sebagainya rasa semangat tu datang semula. Semangat untuk kembali berjuang. Namun bila selangkah maju ke hadapan, aku di kecam dari pelbagai penjuru. Mungkin ini bayaran yang aku harus terima untuk memperjuangkan Islam? Apa-apa pun keputusan telah aku ambil, aku akan senyap dari persada politik organisasi di Syria sesi depan. Baik KKDS mahupun PPMS. Itu rancanganku. Tapi segala-galanya di atas kekuasaan Allah menentukan segala-galanya. Apa yang aku akan buat? Di hati ini teringin sangat nak berdamping dengan kelas-kelas pengajian, menulis artikel yang mampu membuka fikiran semua, mengkaji sejarah-sejarah pejuang terdahulu terutama Sultan Salahuddin Al-Ayubi dan sebagainya. Aku ingin tinggalkan dunia ini dengan penulisan-penulisan yang menggerakkan nadi-nadi dan urat-urat pemuda-pemudi ke arah perancangan membentuk negara Islam. Aku teringin sangat melihat pemuda-pemudi membicarakan tentang negara Islam, melontarkan idea-idea ke arah pembentukan jiwa-jiwa Islam dan sebagainya. Bukannya mencari publisiti murahan menyiasat seseorang terutama hubungan cinta. Aku merasa pelik apabila hubungan cinta seseorang menjadi perbualan hangat di kalangan segelintir mahasiswa-mahasiswi di sini. Ya Allah, kuatkanlah hambamu ini dalam menghadapi liku-liku dunia yang penuh mencabar ini !!!!.