Sunday, June 8, 2008

PERMUSUHAN YANG TIDAK PERNAH PADAM

Oleh : Mohd Hanifi Bin Hj Ahmad Jamaludin

Bermula dari penghujung tahun 2001 sehinggalah sekarang merupakan tahun serangan pihak barat yang bertali arus dan semakin mengancam Islam dan umatnya. Serangan bukan sahaja dalam bentuk peperangan ke atas negara Islam tetapi juga ke atas Islam itu sendiri. Kuasa politik barat dan gereja kini melakukan serangan ke atas agama Islam secara terbuka. Dasar kebebasan beragama yang kononnya mereka sanjungi kini sudah tidak dihormati lagi.

Serangan ke atas Islam oleh Pope Benedict XVI baru-baru ini begitu mengejutkan. Kenyataan Pope itu bercanggah dengan pendirian sederhana Vatican yang sedang berusaha mengadakan dialog antara agama. Ramai tertanya-tanya kenapa hal ini boleh berlaku. Selama ini Vatican begitu dikenali dengan dasar sederhananya. Semua agama di dunia menghormati institusi kristian itu. Semasa kematian Pope John Paul II, kebanyakan negara telah menghantar wakilnya ke istiadat pengkebumian Pope tersebut termasuk juga Malaysia. Ini membuktikan tentang wujudnya jalinan yang baik di antara Vatican dengan seluruh negara di dunia termasuklah negara-negara Islam.

Kini Pope Benedict XVI melupai segala-galanya. Ia menyerang Islam sebagai pengganas dan mengatakan Islam disebarkan melalui mata pedang. Dakwaan ini bukan sesuatu yang baru, tetapi ia telah dilaungkan oleh pihak barat sejak berabad-abad yang lalu. Keganasan pihak kristian ke atas dunia Islam cuba ditutup dengan dakwaan keganasan Islam yang tidak berasas itu. Pope Benedict XVI kini memohon maaf kepada umat Islam di atas kenyataan itu dan Perdana Menteri Malaysia merupakan Ketua Negara Islam pertama menerima permohonan maaf itu. Pendirian Perdana Menteri Malaysia itu mungkin bertujuan untuk mengelak ketegangan antara agama yang mula berputik di Malaysia. Bagi kita sikap biadab Pope itu tidak seharusnya dimaafi dengan begitu mudah.

Kenyataan yang negatif terhadap Islam sebenarnya bertolak dari dua asas utama iaitu :

Pertama : Untuk membuktikan kepada dunia barat bahawa Vatican bersama mereka dalam memerangi keganasan yang kononnya didalangi oleh militan Islam. Kenyataan itu akan memberi keselesaan kepada kerajaan barat yang kini mula ditentang oleh rakyat mereka sendiri. Kita semua mengetahui bahawa barat begitu hebat berusaha untuk menghalang penyebaran dah perlaksanaan ajaran Islam di dalam negara-negara umat Islam, melalui kerajaan-kerajaan yang menjadi tali barut mereka. Dasar ini secara tidak langsung menolong Vatican mendapat laluan mudah untuk menyebarkan agama kristian di dalam negara umat Islam.

Kedua : Dendam kesumat puak kristian terhadap kekuatan Islam sejak zaman-berzaman, terutama kekalahan mereka dalam perang Salib yang bermula di zaman Abbasiyyah sehingga kekalahan besar mereka di tangan Solahuddin Al Ayyubi. Ini menunjukkan bahawa Islam bukan saja mantap dan kukuh di dalam negara-negara, tetapi ia kini semakin mantap dan terpaksa diberi pengiktirafan oleh negara-negara tersebut. Keadaan begitu berbeza dengan kedudukan agama kristian itu sendiri di mana banyak gereja ditutup dan dibeli oleh umat Islam dan dijadikan masjid. Di England pihak berkuasa terpaksa mengadakan undang-undang melarang gereja dijual kepada umat Islam, jika tidak mungkin semua gereja di sana akan bertukar menjadi masjid. Sungguhpun golongan kristian barat tidak begitu kuat beramal dengan ajaran agamanya tetapi taksub dan sentimen agama terus wujud. Sekurang-kurangnya mereka merasai bahawa kristian adalah agama golongan maju. Mereka begitu cemburu dengan perkembangan dan pengaruh Islam yang pada pandangan mereka Islam adalah milik bangsa yang tidak maju. Perkembangan terakhir Islam telah tertonjol sebagai pencabar utama dan menggugat kepentingan barat.

Rentetan serangan ke atas agama Islam dapat dilihat seperti berikut :

1) Kejadian 11 September merupakan propaganda barat untuk menyerang negara umat Islam dan menuduh umat Islam sebagai pengganas.Propaganda ini bertolak dari sikap cemburu pihak barat melihat kemakmuran dan keamanan negara umat Islam serta ingin mencuri kekayaan hasil minyak negara umat Islam.


2) Pada penghujung 2005 sebuah akhbar di Denmark telah menyiarkan lukisan karikatur Nabi S.A.W di mana di atas serban Baginda diletakkan bom bertujuan mengambarkan betapa ganasnya Islam.

3) Pada bulan Januari 2006 lebih 50 orang imam dari negara-negara Islam ditahan memasuki Negara Kesatuan Eropah untuk bertugas sebagai imam di sana.Mereka tidak begitu senang dengan bertambahnya masjid di sana.

4) Di Perancis, kerajaan menguatkuasakan undang-undang melarang wanita Islam memakai tudung. Tindakan ini bercanggah dengan kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan mereka sendiri. Dalam masa yang sama mereka juga melarang pusat-pusat percetakan daripada mencetak buku-buku mengenai Islam.

5) Perancis, Itali dan Jerman meluluskan undang-undang memerangi keganasan. Peruntukan undang-undang itu memberi kuasa kepada kerajaan menghalau keluar para imam-imam masjid dan menutup masjid, mereka juga menarik balik kerakyatan daripada seseorang warga negaranya yang disyaki terlibat dengan gerakan keganasan. Mereka juga mengetatkan undang-undang imigresen untuk tujuan melarang kemasukan umat Islam ke negara mereka.

Layanan negara Islam kepada penduduk bukan Islam adalah begitu baik. Tiada siapa yang menganggu dan menghalang mereka. Agama mereka terus dihormati sungguhpun demikian kristian telah melakukan berbagai usaha untuk memperkasakan kewujudan mereka. Atas nama kebebasan beragama mereka bukan sahaja menuntut hak mereka tetapi juga sanggup mencabar kedaulatan Islam di dalam negara-negara tersebut. Mereka sebenarnya mendapat sokongan dari kuasa kristian dunia. Tindakan yang mereka lakukan sebenarnya adalah sebahagian dari agenda kristian dunia dalam usaha mereka untuk menguasai umat dan negara Islam.

Firman Allah :

Bermaksud : Banyak di antara ahli kitab (yahudi dan nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman,kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri,sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad S.A.W). Oleh itu,maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka) sehingga Allah S.W.T datangkan perintahNya.Sesungguhnya Allah maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Al-Baqarah 109

Sebagai seorang pelajar Islam, kita patut peka dengan suasana ini. Kita patut mempertahankan kesucian agama kita. Kita tidak seharusnya bertolak ansur dengan golongan-golongan yang berniat jahat terhadap Islam. Agama kita mengajar kita supaya menghormati agama lain. Tetapi dasar ini tidak pernah mereka hormati sebaliknya mereka cuba mencabar dan mengganggu-gugat agama kita. Mereka mengambil kesempatan di atas keikhlasan, kebajikan dan kelalaian kita. Mereka begitu berani untuk melakukan apa sahaja walaupun ia menyentuh perasaan dan sensitiviti kita. Keberanian mereka ini adalah disebabkan kerajaan yang memerintah bukan mempertahankan Islam bahkan menyerang dan memperlekehkan kesuciannya.Akhir sekali renungilah Firman Allah :

Maksudnya : Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha sekali-kali kepada kamu sehingga kamu menurut ajaran mereka. Katakanlah,( Wahai Muhammad SAW ) Sesungguhnya Allah itulah merupakan petunjuk yang sebenar. Dan jika kamu mengikuti kemahuan dan kehendak mereka setelah datang kepadamu pengetahuan, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.
Al-Baqarah 120

Walaupun begitu, kita selaku umat Islam masih yakin dan terus yakin dengan janji yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang berbunyi :

Maksudnya : Akan tetap ada di kalangan umatku golongan yang bangkit menyatakan kebenaran agama Islam, mereka tidak mudah diperlakukan sewenag-wenangnya oleh golongan yang menentang sehingga datang urusan daripada Allah.


Wallahua’lam.

No comments: