Tuesday, June 17, 2008

Pergiat ternakan ikan dalam sangkar - MB Kedah

ALOR STAR, 17 Jun (Hrkh) - Kerajaan negeri Kedah akan mempergiatkan projek ternakan ikan dalam sangkar bagi meningkatkan sumber pendapatan rakyat di negeri ini.

Bernama melaporkan Menteri Besarnya, Ustaz Azizan Abdul Razak berkata sebagai permulaan kerajaan negeri akan melaksanakan projek ikan patin dalam sangkar berskala besar di Tasik Pedu dan hasilnya akan dieksport ke luar negara.

"Hasil ternakan ini bukan sahaja boleh dipasarkan ke luar negara malah projek ini dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Sebagai contoh, harga ikan di Mesir amat mahal dan kalau boleh kita nak hantar ikan kita ke sana," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Konsul Diraja Thailand di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Azizan berkata bagi menjayakan rancangan itu, wakil kerajaan negeri telah dihantar ke luar negara untuk mencari pelabur yang berminat melabur dalam projek berkenaan.
Sementara itu, Azizan berkata rakyat perlu berdikari untuk mengurangkan perbelanjaan harian dengan mengusahakan sendiri tanaman sayur dan membela ikan air tawar untuk kegunaan keluarga.

"Harga minyak dah naik sekarang, jadi orang kampung patut bertani, sekurang-kurangnya tak payah keluar belanja untuk sayur. Bagi orang yang tinggal di flat atau tiada tanah, mereka boleh tanam sayur secara hidroponik, dapat tanam sikit pun cukuplah untuk kegunaan satu rumah," katanya.

Beliau berkata rakyat di negeri ini berupaya untuk bertani sendiri kerana latar belakang kebanyakan penduduknya pernah terlibat dengan projek pertanian.

Bersama Menjana Ekonomi Islam dan Bersama Menjaga Kemenangan !!!

No comments: