Friday, May 8, 2009

REALITIKAN AMANAT DAN WASIAT UST FADZIL !!!
Ketokohan, keperibadian dan sikap pertanggungjawaban yang ditunjukkan oleh Almarhum Ust Fadzil Mohd Noor disegani kawan dan lawan, dikagumi sahabat dan musuh. Sentiasa berusaha memastikan PAS berada ditahap sekarang, di persada politik perdana melebihi UMNO. Di tengah kegawatan pencabulan demokrasi yang berlaku pada tahun 1998 selepas kemuncak kebangkitan rakyat menentang pemecatan yang tidak bermaruah terhadap Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Ust Fadzil mengorak langkah menubuhkan GERAK yang dianggotai parti-parti politik dan NGO-NGO. Sikap cepat bertindak untuk kepentingan rakyat dipuji ramai pihak. Melalui GERAK, beliau menyatupadukan rakyat Malaysia menentang kezaliman, penindasan, kuku besi dan sebagainya. Presiden PAS itu juga telah memberi satu amanat dan wasiat yang penting kepada semua pimpinan, pendokong, ahli dan penyokong PAS terhadap konsep kepimpinan di dalam organisasi parti PAS. Konsep “ MENGULAMAKAN PROFESIONAL DAN MEMPROFESIONALKAN ULAMA ” menjadi tema yang cukup berkesan menarik ramai pihak menyertai PAS. Konsep ini secara tidak langsung membuang sedikit sebanyak teori hanya PAK LEBAI KAMPUNG sahaja yang layak menyertai PAS. Mantan MB Kedah, Tan Sri Sanusi Junid pernah menyatakan “ Dimana ada padi, di situ ada pondok. Dan dimana ada pondok, di situ ada PAS ”. 3P ini seolah menjadi kenyataan. Padi,Pondok, PAS. Manakan tidak, umum mengetahui PAS lahir dari jiwa-jiwa yang betul-betul ingin melihat Islam tertegak di muka bumi Malaysia. Perjuangan mereka bukan kerana wang ringgit, harta benda dan ganjaran. Walaupun mereka hanya berpendidikan pondok, mengerjakan sawah namun keringat mereka untuk perjuangan PAS tidak boleh dipertikaikan. Justeru apabila ada golongan professional, Ust Fadzil selaku Presiden ketika itu mengetengahkan konsep ini agar semua golongan tidak tersisih dan diketepikan dalam kerjasama dan pengembelingan tenaga ke arah penubuhan Negara Islam Malaysia. Ini kerana setiap kali menjelang muktamar dan pemilihan pucuk pimpinan, akan ada provokasi dan sikap melaga-lagakan pimpinan PAS di dalam pertikaian dan perselisihan antara memilih ulama atau professional yang akan menerajui PAS. Justeru konsep ini sangat relevan. Namun, Allah lebih menyayangi Ust Fadzil. Seluruh Malaysia dikejutkan dengan pemergian beliau mengadap ilahi pada 23 Jun 2002. seluruh pendokong, ahli dan penyokong PAS menangisi pemergian beliau. Justeru kehadiran melebihi 500 ribu orang ketika pengkebumian beliau tidak memeranjatkan. Seluruh rakyat ingin melihat dan memberi penghormatan terakhir kepada Presiden PAS itu. Dan ALLAH telah menunjukkan kepada kita semua jasa-jasa beliau dan pengorbanan beliau harus di ikuti dan di contohi. Awan melindungi pesawat yang membawa jasad beliau menunjukkan segala-galanya.
Hari ini, provokasi dan cubaan melaga-lagakan pimpinan PAS dalam penentuan samada professional atau ulama kan yang akan menerajui PAS timbul semula. Di saat ramai melupakan konsep yang di ketengahkan mantan Presiden PAS yang lalu. Apa yang menyedihkan, ada pimpinan PAS yang dilihat seoah-olah termakan dengan provokasi dan hasutan tersebut. Kalau UMNO setiap kali pemilihan pucuk pimpinan, kita akan dihidangkan individu yang di dakwa menggunakan politik wang untuk memenangi jawatan tetapi PAS dihidangkan perselisihan memilih pucuk pimpinan di kalangan ulama dan professional. Ada yang inginkan ulama memimpin dan professional membantu. Ada golongan yang inginkan professional memimpin dan ulama menasihati. Dan ada juga golongan yang hendakkan ulama dan professional sama-sama memimpin. Juga tidak ketinggalan ada golongan yang inginkan ulama sahaja memimpin dan juga sebaliknya iaitu inginkan professional yang memimpin. Hanya segelintir pimpinan menyahut konsep dan saranan mantan Presiden PAS, Ust Fadzil. Yang sudah mempunyai latar belakang pendidikan agama berusaha menambahkan ilmu pengetahuannya dalam ilmu-ilmu professional moden. Mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang professional untuk membolehkan mereka tidak terkepung di bawah satu bidang sahaja atau menjadi ulama sahaja. Antaranya :

1. AJK PAS Pusat, Dr Mohd Mujahid Bin Yusof Rawa – beliau belajar bidang agama untuk ijazah pertamanya dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan mengajar apabia pulang ke Malaysia. Kemudian ( mungkin menyahut amanat dan saranan Ust Fadzil ) beliau menyambung pelajarannya dalam bidang Pengurusan di Universiti Putra Malaysia ( UPM ) dan seerusnya memperolehi Phd dalam bidang Pengurusan dari Universiti tersebut. Ini boleh dianggap beliau adalah ulama professional dalam PAS.
2. Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharudin Bin Mat Isa atau lebih dikenali Ust Nasa juga boleh dimasukkan dalam kategori ini. Beliau yang menuntut di ITM kemudian menyambung pengajian ke Jordan dan seterusnya menjadi pensyarah di UKM dan UIA dalam bidang Syriah dan Perundangan.

Bagi yang mempunyai asas pendidikan professional pula, mereka mula menambahkan ilmu mereka dengan menyertai kelas-kelas agama dan terus menyambung pelajaran mereka secara formal dalam bidang agama. Antara contoh yang ketara adalah :

1. Datuk Husam Bin Musa, sebagai seorang anak tok guru yang terkenal di negeri Kelantan, apabila mengikuti pengajian di peringkat Universiti, beliau memilih bidang professional iaitu ekonomi. Selepas tamat belajar Husam merasakan beliau cacat kerana tidak boleh merujuk urusan agamanya melalui sumber asal Al-Quran dan hadis dalam bahasa arab. Lalu Husam pergi ke Jordan dan mengikuti pengajian bahas arab di sana untuk sekian lama. Selepas pulang, Husam tidak kekok lagi berhujah dalam bidang agama berdasarkan Al-Quran dan Hadis kerana mampu menguasai bahasa arab dan merujuk urusan agamanya kepada rujukan asal.

2. Satu lagi contoh yang diketahui menyahut amanat dan saranan Ust Fadzil adalah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ariffin Deraman. Beliau mempunyai ijazah dalam bidang IT dari USM, Pulau Pinang. Selepas tamat belajar, beliau bekerja dengab PAS Terengganu untuk memantapkan bidang teknologi maklumatnya. Mungkin kerana merasakan dirinya tidak lengkap, selepas bekerja sekian lama dengan PAS Terengganu, Ariffin belajar semula secara separuh masa dan mendapat tempt untuk belajar di Universiti Al-Azhar. Kini setelah pulang, Ariffin yang pakar IT sudah dipanggil “ Ustaz ” kerana dia juga mempunyai ilmu agama dan mendapat ijazah dari Al-Azhar.

3. Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad juga boleh dijadikan contoh. Beliau adalah pakar dalam bidang racun dan menjadi pensyarah dalam bidang toksikologi di USM Kubang Kerian, Kelantan. Namun cubalah untik berhujah dengan beliau tentang agama. Kalau calang-calang Ustaz sudah tentu akan tertunduk oleh beliau.

Ada pihak yang menggelarkan golongan ini yang belajar bidang agama dan professional sebagai “ mee celup ” ( sekejap dalam kuali sahaja ) dan mereka yang belajar dalam satu bidang sahaja digelar “ mee goreng ” ( lama dalam kuali ).
Hujah sedemikian sangat tidak relevan di saat PAS semakin dterima rakyat tidak kira bangsa dan agama sehinggakan tertubuh kelab penyokong PAS. Golongan yang belajar kedua-dua bidang adalah berusaha untuk melengkapkan diri mereka dengan segala sudut ilmu agama dan professional. Dan golongan yang menuntut di satu bidang sahaja, tidak menjadi suatu kesalahan apabila mereka tidak menuntut dalam bidang professional.
Terbuktilah masih lagi ada segelintir pimpinan yang berusaha mencapai amanat dan saranan Ust Fadzil. Seolah-olah sudah tidak wujud lagi istilah hanya satu golongan yang menerajui PAS seperti ucapan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Bin Nik Mat sekembalinya beliau dari tanah air baru-baru ini.
“ saya tidak nampak ada kekeliruan tentang apa yang dikatakan pertembungan antara ulama dan professional dalam PAS. Kini ulama kami adalah professional dan professional kami juga adalah ulama. Jadi saya tidak nampak sebarang masalah di sini ”.
Bagi golongan yang memperjuangkan satu-satu golongan sahaja, mereka ini dilihat ketinggalan zaman arus politik Malaysia. Mungkin hati kecil mereka seronok melihat perpecahan di kalangan pimppinan PAS dan menabur baja dilemma dikalangan ahli. Golongan ini sebenarnya bimbang akan terjejas kedudukan atau pengaruh yang diperolehi dsan seolah-olah seronok melihat percakaran di kalangan akar umbi. Apa yang jelas, terbukti golongan ini tidak dapat menerima orng lain yang lebih dari mereka dan jelad menunjukkan kelemahan diri mereka.
Apa yang penting pada muktamar kali ini, harus ada reform ke arah pembaikan saf kepimpinan PAS yang lebih baik dan mengantikan pimpinan yang hanya pandai bercakap dengan mulut namun susah laksanakan amanah yang diberikan. Bukan kerana mereka ulama atau professional kerana ia telah di selesaikan oleh Ust Fadzil 10 tahun yang lalu “ MENGULAMAKAN PROFESIONAL DAN MEMPROFESIONALKAN ULAMA ” dan kenyataan YAB Tuan Guru Mursyidul Am Pas “ ULAMA KAMI ADALAH PROFESIONAL DAN PROFESIONAL KAMI ADALAH ULAMA ”.
penulis adalah Setiausaha Kerja ADUN Bukit Lada.

No comments: