Saturday, August 23, 2008

Pengalaman Mendengar Ceramah BN di Permatang Pauh
Oleh : Orang Parit Buntar

Pada malam 19/8/08 , kami telah bertolak ke Permatang Pauh untuk melihat suasana berkempen di sana. Kami tidak berminat untuk mengikuti ceramah PKR kerana sudah biasa mendengarnya. Jadi kami mencari ceramah yang dianjurkan oleh BN.

Kebetulan kami bertemu dengan satu pos BN di tepi jalan masuk ke sebuah kampung berdekatan Kubang Semang. Satu ceramah wanita umno sedang berlangsung di situ, kami turut serta mendengarnya. Menurut seorang petugas umno TPM akan datang ke situ malam itu. Kami diberi sebotol air mineral berlambang dacing.

Lebih kurang 30 orang wanita dan remaja perempuan sedang mendengar ceramah berkenaan di samping 8 hingga 10 orang lelaki dewasa dan pemuda. Anggota Polis juga kelihatan 5 hingga 6 orang di situ.

Penceramah wanita umno pada malam itu datang dari Selangor menggunakan sebuah laptop yang memaparkan gambar-gambar untuk menguatkan hujah beliau. Entah mengapa beliau tidak menggunakan skrin, nak kata tidak ada peruntukan mustahil.

Mungkin, beliau takut gambar atau kenyataan dalam laptop beliau itu dirakam kerana kebanyakannya adalah berunsur fitnah terhadap DSAI dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Pemimpin wanita umno dalam lingkungan 50 tahun ini banyak membangkitkan kemusnahan hak orang Melayu setelah PR memerintah. Beliau membangkitkan isu ternakan babi di Selangor, isu tanah di Perak, isu kouta Uitm dan banyak lagi isu terutamanya di Selangor.

Jika orang kurang faham isu semasa pasti merasa amat marah kepada PR, seolah-olah kerajaan PR hanya membela orang Cina. Ceramah berunsur perkauman ini jika disampaikan oleh pemimpin PR, pastinya sudah dicaj dengan akta hasutan.

Lebih kurang jam 11.00 malam, muncullah TPM untuk menyampaikan ceramah di situ. Agak lama juga beliau berbincang dengan pemimpin umno yang menjaga pos BN berkenaan. Mungkin beliau menyatakan tidak puas hati beliau kerana kehadiran kecil yang tidak padan untuk beliau menyampaikan ceramah.

Beliau, kemudiannya menyampaikan ucapan meminta maaf kepada orang yang hadir kerana tidak boleh lama terpaksa menghadiri program lain. Beliau meminta pengundi di situ memberi undi kepada Dato' Arif dan meminta seorang Ahli Parlimen dari Johor mengantikan beliau.

Ucapan Ahli Parlimen ini dimulakan mengumumkan berita baik harga minyak akan turun dan PM akan membuat pengumumannya dua atau tiga hari lagi. Beliau, seterusnya menggunakan isu turun harga minyak ini sebagai tanda kerajaan BN prihatin masalah rakyat.

Tidak lama beliau berceramah tiba satu gerombolan pemuda umno bermotorsikal membawa bendera BN dan umno untuk mendengar ceramah di pos itu. Ahli Parlimen ini semakin bersemangat apabila pemuda ini bersorak menyokong ceramah beliau yang juga berunsur perkauman.

Beliau mengalih perhatian kepada pemuda-pemuda ini bertanya adakah pemuda yang ramai itu datang dari kampung itu. Malang, pemuda yang menyahut memberitahu bahawa mereka dari tempat lain bukan dari kampung itu.

Jam 11.35 malam, tiba masa seorang lagi penceramah berceramah. Beliau adalah Lokman Nor Adam bekas AJK Pemuda KeAdilan yang sudah masuk umno. Ceramah beliau dimulakan dengan cabaran kepada DSAI supaya bersumpah tidak meliwat Saiful.

Beliau, seterusnya mencerita pengalaman beliau sebelum DSAI ditangkap, semasa ditahan ISA dan bagaimana beliau dipecat dari KeAdilan kerana mendedahkan penyelewengan dana oleh pemimpin KeAdilan.

Selepas ceramah itu kami beredar dan mendapat cenderahati topi berlambang dacing. Kami singgah di Markas PKR memaklumkan kepada beberapa orang petugas PKR di situ tentang isi ceramah yang baru kami dengar.

Kami membuat rumusan dari pengalaman menghadiri ceramah BN ini .

Pertama, BN menggunakan isu perkauman untuk menarik undi Melayu. Jika orang Cina yang masih menyokong BN mendengar ceramah ini, pasti mereka tidak akan mengundi BN.

Kedua, BN akan menggunakan isu turun harga minyak untuk menarik pengundi kerana diumumkan sebelum 1 September.

Ketiga, BN menggunakan Isu liwat sebagai senjata dengan menggunakan bekas pengikut DSAI yang sudah menyertai umno.

Ceramah yang disampaikan oleh Lokman jika didengar oleh orang atas pagar mereka mungkin akan terpengaruh, yang dah ada niat nak mengundi DSAI mungkin ubah niat mereka kerana Lokman memceritakan beberapa pengalaman beliau bersama DSAI.

Harap jentera PKR dengar ceramah Lokman dan rakan-rakannya dan cepat buat penjelasan semula kepada pengundi yang mendengar ceramah mereka.

Daripada : WebMaster PAS Parit Buntar

No comments: